• PROSES PELAKSANAAN PROGRAM

    * Klik gambar untuk lihat lebih jelas.


    Program ini merangkumi empat langkah, iaitu:

    Syarikat/Organisasi memohon dan mendaftar untuk menyertai Program CISM melalui portal Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM).

    Platform Permohonan

    Proses permohonan dan pendaftaran syarikat/organisasi ke dalam Program Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) dijalankan sepenuhnya secara atas talian melalui platform portal CISM yang boleh diakses di laman pendaftaran.

    Kelayakan Permohonan

    Program ini terbuka kepada semua syarikat/organisasi yang berdaftar dan diperbadankan serta menjalankan perniagaan di Malaysia.

    Kos

    Tiada sebarang kos atau caj bayaran yang dikenakan ke atas syarikat untuk menyertai program ini.

    Kesesuaian Program

    Program ini adalah fleksibel dan boleh disesuaikan dengan pelbagai kategori dan saiz syarikat/organisasi yang berdaftar dan diperbadankan serta menjalankan perniagaan di Malaysia.

    Penyertaan program ini adalah tindakan secara sukarela namun sangat digalakkan. Dengan mendaftar, syarikat/organisasi menyatakan hasrat dan bersetuju untuk menerima khidmat nasihat daripada pihak CISM dari semasa ke semasa terutamanya mengenai pelaksanaan inisiatif pencegahan rasuah yang dicadangkan.

    Taklimat Program CISM

    Pihak syarikat/organisasi boleh juga memohon untuk menghadiri sesi taklimat berkaitan program CISM melalui:
    1. Emel rasmi CISM di cip@sprm.gov.my
    2. Menghubungi di talian hotline CISM 03-88911827

    Sesi taklimat ini akan merangkumi informasi berkaitan pengenalan kepada CISM, proses pelaksanaan, inisiatif CISM dan sebagainya.

    Dokumen Sokongan

    Bagi melengkapkan proses permohonan dan pendaftaran, beberapa dokumen sokongan diperlukan:
    1. Surat permohonan daripada syarikat/organisasi
    2. Borang permohonan yang telah ditandatangani
    3. Maklumat korporat terkini dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia
    4. Senarai Semak Pelaksanaan Inisiatif CISM yang telah lengkap diisi


    Syarikat/Organisasi diberi tempoh untuk membangun dan melaksanakan 7 Inisiatif CISM berdasarkan Senarai Semak Pelaksanaan Inisiatif CISM.

    Inisiatif CISM

    Pelaksanaan Inisiatif CISM merangkumi 7 inisiatif utama melalui penyediaan polisi-polisi berkaitan.
    1. Kepimpinan
    2. Kod Etika
    3. Polisi Pencegahan Rasuah
    4. Pengurusan Risiko Rasuah
    5. Latihan dan Komunikasi
    6. Penilaian Prestasi
    7. Pelaporan Pencegahan Rasuah

    Kesemua inisiatif ini hendaklah disediakan oleh syarikat/organisasi. Walau bagaimanapun pelaksanaan polisi berkaitan Pengisytiharan Harta (Declaration of Assets) dan Pelaporan Pencegahan Rasuah (Anti-Corruption Reporting) adalah bukan mandatori namun sangat digalakkan.

    Tempoh melengkapkan inisiatif CISM

    Pelaksanaan proses ini adalah dalam tempoh maksimum 2 tahun dari tarikh permohonan.

    Sumber Rujukan

    Syarikat boleh mendapatkan khidmat nasihat dan rundingan daripada mana-mana Anggota Meja Bulat Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) atau pihak lain yang mempunyai kepakaran dalam membantu melaksanakan inisiatif tersebut.


    Syarikat/Organisasi dikehendaki mengemaskini status pelaksanaan inisiatif CISM melalui Portal CISM pada setiap 3 bulan dari tarikh kelulusan pendaftaran sehingga prestasi keseluruhan mencapai 100%.

    Proses ini merupakan proses pemantauan kendiri bagi pelaksanaan Inisiatif CISM secara atas talian.

    Dari semasa ke semasa, syarikat perlu mengemaskini Senarai Semak Inisiatif CISM berdasarkan senarai polisi yang disediakan.

    Melalui Senarai Semak Inisiatif CISM, syarikat/organisasi boleh mengetahui pencapaian terkini bagi pelaksanaan inisiatif tersebut. Seterusnya syarikat/organisasi akan membangunkan Inisiatif CISM yang masih belum disediakan di syarikat.

    Tempoh masa proses pemantauan

    Emel peringatan berhubung pengemaskinian Senarai Semak Inisiatif CISM akan dijana secara automatik oleh Portal CISM pada setiap 3 bulan dalam tempoh 2 tahun bermula dari tarikh permohonan diluluskan.

    Proses ini sebaiknya dipantau oleh pegawai organisasi/syarikat yang menguruskan hal yang berkaitan integriti dan tadbir urus syarikat/organisasi.

    Pembatalan permohonan

    Syarikat/Organisasi yang tidak melengkapkan Senarai Semak Pelaksanaan Inisiatif CISM dalam masa 2 tahun akan dikeluarkan dari senarai permohonan.

    Emel pemakluman pembatalan permohonan akan dihantar kepada pentadbir syarikat. Dan sekiranya syarikat tersebut masih berminat untuk menyertai program ini, boleh memohon dengan mendaftar semula di Portal CISM.


    Sijil Penyertaan Program Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) akan dikeluarkan oleh pihak CISM melalui platform Portal CISM selepas syarikat/organisasi memenuhi semua kehendak inisiatif CISM yang ditetapkan dan prestasi keseluruhan mencapai 100%.

    Bagi melengkapkan proses penghargaan, syarikat/organisasi perlu memenuhi proses seperti berikut:

    1. Menyelesaikan pelaksanaan Inisiatif CISM
    Syarikat/Organisasi telah menyelesaikan pelaksanaan Inisiatif CISM dan mencapai 100% prestasi keseluruhan. Syarikat/Organisasi hendaklah memuat naik Senarai Semak Inisiatif CISM dan rumusan prestasi keseluruhan pelaksanaan Inisiatif CISM bagi indikator prestasi 100% tersebut melalui portal CISM.

    2. Mendapat perakuan pengurusan tertinggi
    Pelaksanaan Inisiatif CISM perlu mendapat perakuan pengurusan tertinggi atau badan pentadbiran syarikat/organisasi bagi membolehkan sijil penyertaan dikemukakan kepada syarikat/organisasi. Syarikat/organisasi hendaklah memuat naik perakuan pengurusan tertinggi yang telah ditandatangani melalui portal CISM. Selain itu, dicadangkan juga pihak syarikat/organisasi mendapatkan sokongan perakuan dari juruaudit syarikat/organisasi (sekiranya perlu).

    3. Templat Ikrar Integriti Korporat
    Memuatnaik templat Ikrar Integriti Korporat yang telah ditandatangani oleh Ketua syarikat/organisasi atau pengurusan tertinggi.

    Kelulusan daripada Portal CISM

    Kelulusan permohonan bagi proses penghargaan akan dikeluarkan melalui Portal CISM dalam tempoh 14 hari bekerja. Sekiranya permohonan diluluskan, syarikat/organisasi akan menerima emel pemakluman dan sijil penyertaan akan dijana melalui portal CISM.